|
PERKEMBANGAN masjid di Malaysia bukan saja berkait rapat dengan fungsinya sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai tempat tumpuan ummah di samping menjadi simbol transisi pemodenan negara.
Ini dapat disaksikan menerusi seni bina dari zaman sebelum dan selepas merdeka dengan pengaruh kolonial seperti Moor sebagaimana dapat dilihat pada Masjid Ubudiah kepada seni bina moden di Masjid Kristal hari ini.
Masjid di Malaysia turut menjadi tumpuan pelancong terutama bagi melihat keunikan seni bina yang menggabungkan elemen tempatan dan luar serta secocok sepanjang zaman.
>Masjid Negara, Kuala Lumpur
SENI bina bercirikan rumah Melayu dengan kubah payung dan menara setinggi 73.5 meter (m) memberi keunikan kepada Masjid Negara.
Reka bentuknya yang melangkaui zaman, jauh berbeza dengan gaya Moor yang mendominasi seni bina bangunan yang dibina pada zaman pramerdeka.
Siap dibina pada 1965, kubahnya menggambarkan keutuhan masyarakat Melayu selain melambangkan konsep raja memayungi rakyat.
Pembinaannya turut mengambil kira iklim negara dengan anjung, kolam untuk memberi penyejukan kepada dalam bangunan.
Ukiran menarik menghiasi masjid ini selain banyak kubah kecil berasaskan reka bentuk Sarasin yang disesuaikan dengan rekaan moden.
Bagi mencantikkannya lagi seni binanya, keseluruhan dinding Masjid Negara dihiasi marmar dari Itali.
>Masjid Kristal, Kuala Terengganu
MENJADI satu komponen penting dalam pembinaan Taman Tamadun Islam di Pualu Wan Man, Kuala Terengganu, masjid ini memiliki seni bina menarik dengan keluli dan kaca di muara sungai.
Pada waktu malam, masjid ini begitu menarik kerana warna kristalnya bertukar kepada beberapa warna seperti merah, hijau dan kuning menggunakan lampu berlainan warna.
Ini dapat dilihat dengan jelas apabila orang ramai melalui Jambatan Sultan Mahmud yang menghubungkan bandar Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
Selain masjid ini, ada 21 replika monumen Islam di taman ini termasuk Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan Taj Mahal.
Pengunjung boleh meneroka tarikan ini dengan menaiki kereta api khas atau berjalan kaki menyusuri laluan pejalan kaki.
>>Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
SELEPAS pulih daripada penyakit, Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Shah I bernazar untuk membina masjid di Kuala Kangsar sekembalinya dari Port Dickson.
Peletakan batu asasnya disempurnakan oleh baginda pada 1913, namun hanya siap empat tahun kemudian kerana dilengahkan peristiwa dua gajah, milik Sultan dan Raja Chulan yang bertelagah.
Pada peristiwa yang berlaku ketika sambutan majlis berkhatan Raja Khalid, anak Sultan Abdul Jalil, gajah ini bergaduh sehingga menyebabkan kerosakan pada marmar tempah khas dari Itali.
Tempahan baru terpaksa dibuat dan ia tiba lewat kerana meletusnya Perang Dunia II dan kapal pada masa itu perlu melalui Tanjung Harapan.
Perasmian masjid yang dikatakan tercantik di Malaysia disempurnakan Sultan Abdul Jalil pada 1917 yang mewarisi takhta daripada Sultan Idris yang mangkat setahun sebelumnya.
>Masjid Putra, Putrajaya
REKA bentuknya bersandarkan seni bina Parsi pada zaman kerajaan Safawe dengan penggunaan batu granit merah jambu, ia menjadi bangunan paling indah di tebing tasik yang mengelilinginya,
Kubah berasaskan ukiran awan larat Arab (Arabesque) seperti yang biasa dilihat pada masjid di Mesir. Kehalusan pertukangan Melayu menerusi penggunaan kayu cengal dan seraya hitam pula menghiasi bahagian dalam masjid.
Menara berbentuk bintang lapan penjuru setinggi 116 meter, jelas memperlihatkan keunggulan seni reka Islam. Lima tingkat yang membahagi menara, melambangkan rukun Islam dan juga sembahyang lima waktu bagi umat Islam.
>Masjid Tengku Tengku Tengah Zaharah, Terengganu
DARI jauh, masjid dibina di muara Sungai Terengganu ini kelihatan seperti terapung dikelilingi air tasik buatan.
Seni bina Moor dan moden, ia melambangkan inovasi dan proses pemodenan negeri pantai timur ini.
Masa terbaik untuk berkunjung adalah menjelang petang apabila kubah putihnya kelihatan keemasan apabila disimbah cahaya matahari terbenam di Laut China Selatan.
Terletak di Teluk Ibai, kira-kira empat kilometer (km) dari Kuala Terengganu, kawasan ini juga terletak berhampiran pantai, pusat kraftangan dan gerai menjual keropok lekor.
>Masjid Zahir, Alor Setar
MASJID ini dibina pada 1912 atas tanah perkuburan pejuang Kedah yang gugur ketika menentang Siam pada 1821. Seni binanya diilhamkan daripada Masjid Azizi di Langkat, utara Sumatera.
Masjid antara tertua di negara ini dihiasi dengan lima kubah utama melambangkan lima perkara dalam Rukun Islam. Terletak berdekatan dengan Balai Besar, Balai Nobat dan Balai Seni Negeri.
Upacara perasmian pada 1915 menyaksikan Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat, manakala Tunku Mahmud terlebih dulu membacakan khutbah.
>Masjid Jamek, Kuala Lumpur
SEBELUM masjid negara, Masjid Jamek yang dibina pada 1909 menjadi masjid utama negara.
Kos pembinaan menggunakan dana dari British dan derma orang ramai dan ia dibina di atas bekas kubur orang Melayu pertana di Kuala Lumpur.
Terletak di pertemuan dua sungai yang menjadi tempat kelahiran Kuala Lumpur, masjid ini pernah beberapa kali diubah suai bagi memenuhi pertambahan jemaah dan peredaran masa.
Reka bentuk masjid ini menggabungkan seni bina berunsurkan Moorish dan Mughal.
Tiga kubah besar di ruang sembahyang adalah tarikan utama masjid tertua di Kuala Lumpur.
Keunikan, keindahan reka bentuk dan kepentingannya dari segi sejarah menyebabkan masjid ini diwartakan sebagai bangunan bersejarah mengikut Akta Benda Purba 1976 pada 13 Oktober 1983.
Sultan Alauddin Sulaiman Shah berkenan meletakkan batu asas Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 1908. Turut hadir di majlis itu ialah Residen British di Selangor, H C Belfield.
>>Masjid Wilayah Persekutuan
PEMBINAAN masjid dalam taman ini dimulakan pada 1997, tetapi hanya siap untuk digunakan pada tahun 2000. Menjadi masjid termoden negara, ia mampu menampung sehingga 17,000 jemaah pada satu-satu masa.
Reka bentuknya mengadaptasi konsep masjid pada zaman empayar Othmaniah di Turki dengan dua menara utama, 22 kubah dan satu kubah utama. Setiap kubah diperbuat daripada gentian kaca diadun bersama cecair penguat.
Namun kombinasi seni bina Melayu dan Timur Tengah boleh dilihat pada hiasan langit-langit, mimbar dan mihrab. Ukiran bingkai jendelanya pula adalah cetusan ilham pengukir dari Kelantan dan Terengganu.
Keluasan keseluruhan bangunan adalah kira-kira 47,000 meter persegi. Namun, Kira-kira 13.4 hektar diperuntukkan untuk landskap kolam air dan taman dengan pokok bunga tanjung, pisang kipas, pisang kuning, kelompang dan kiara payung.
Sejarah seni bina masjid di Malaysia
>PERKEMBANGAN awal Islam dikatakan bermula di Selat Melaka dan kawasan yang menghadap Laut Cina Selatan. Penemuan mata wang dinar emas di Kelantan yang tertulis perkataan Al-Julus Kelantan dan angka Arab 577H bersamaan 1181 Masihi. Kerajaan Islam pertama ialah Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12).
>Pada abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka), masjid yang bercirikan rumah tradisi Melayu dengan berbumbungkan atap nipah sudah dibina. Kehadiran masyarakat Aceh ke Tanah Melayu memberi kesan kepada seni bina masjid dan surau seperti di Masjid Lebuh Acheh, Georgetown.
>Antara 1511 hingga 1957, kesan seni bina kolonial dapat dilihat di Tanah Melayu akibat penjajahan Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1795) dan British (1795-1957). Sebagai contoh, Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru; Masjid Jamek, Ipoh; Masjid Kapitan Keling, Georgetown; Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu dan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
* Senarai masjid tertua di Malaysia
No comments:
Post a Comment