Friday, August 27, 2010

pemakanan sihat jamin kesihatan

RAMADAN menyediakan peluang untuk kita menyempurnakan ibadah puasa serta melakukan segala amalan yang baik.

Segala amal ibadah dan amalan sihat termasuk pemakanan seimbang serta pembersihan rohani dan jasmani seharusnya diteruskan sepanjang hayat.


Amalan yang baik itu juga dapat dijadikan contoh untuk ahli keluarga dan mereka yang rapat. Tanamkan tekad pada diri untuk meneruskan segala amalan berkenaan.


Tabiat sihat
Satu daripada perkara baik yang kita perolehi daripada semangat Ramadan adalah pemakanan sihat dan mengekalkan diet yang sihat. Semasa berpuasa, kita mempelajari kepentingan untuk mengambil makanan yang menyihatkan mengikut keperluan tanpa perlu makan secara berlebihan. Teruskan amalan baik ini dan pasti tubuh anda akan mendapat kebaikan daripada tabiat sihat ini.


Pilih ramuan dan bahan segar serta cara penyediaan yang sihat apabila ingin menyediakan hidangan untuk keluarga. Gunakan seberapa banyak bahan dan ramuan semula jadi untuk masakan. Selain itu, sediakan hidangan yang kaya dan seimbang serta mengandungi semua peringkat kumpulan utama makanan. Teruskan juga pengambilan makanan yang tinggi dengan serat untuk memastikan diet yang sihat. Penyediaan hidangan yang disediakan sendiri di rumah memastikan tabiat makan yang sihat dapat diteruskan.


Selepas Ramadan nanti, cuba berpuasa sekali sekala untuk “membersihkan” tubuh. Tidak perlu berpuasa untuk sebulan, memadai untuk satu atau dua hari bagi mengeluarkan toksin yang terkumpul di dalam tubuh.


Sekiranya anda berjaya mengurangkan beberapa tabiat tidak sihat seperti merokok ketika Ramadan, mengapa tidak menghentikan saja tabiat itu? Bukan saja tubuh anda menghargainya, malah fokus minda anda juga mendapat manfaat.


Tabiat sihat untuk jantung sihat
Satu elemen penting dalam memastikan pelaksanaan ibadah puasa dapat disempurnakan adalah memastikan pemakanan yang betul dan sihat. Diet yang betul dan seimbang bukan saja dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan sepanjang Ramadan, malah dapat membantu mencegah pelbagai masalah dan gangguan kesihatan demi menjamin kesihatan yang baik sepanjang hayat.


Tidak dinafikan pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang hanya mengundang pelbagai masalah kesihatan seperti kegemukan, paras kolesterol tinggi, diabetes dan penyakit jantung. Satu perkara yang harus diberikan perhatian serius - penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia dan seluruh dunia, malah ancaman pembunuh senyap ini tidak pernah berkurangan.


Satu cara terbukti merendahkan kolesterol dan menurunkan risiko penyakit jantung adalah dengan mengambil serat, terutama serat larut (beta-glukan) yang boleh didapati di dalam oat. Laporan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat menyatakan, diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.


Oleh itu jika kita mempunyai paras kolesterol normal, pengambilan oat dapat memastikan kesihatan jantung. Jika kita mempunyai paras kolesterol yang tinggi iaitu 5.0 ke 5.2mmol/L dan ke atas, pengambilan bijirin oat yang disarankan adalah sebanyak dua mangkuk bersamaan dengan 70 gram bijirin oat setiap hari. Ini dapat membekalkan kita dengan tiga gram beta-glukan yang berkesan dalam membantu menurunkan paras kolestrol dalam darah.

Apabila mengambil bijirin oat, serat larut (beta-glukan) akan mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam usus. Kemudian, ia disingkirkan menerusi sistem usus besar. Apabila bendalir hempedu sudah disingkirkan daripada sistem, tubuh akan mencuba untuk menggantikannya. Hasilnya, hati kita akan menarik lebih banyak kolesterol dari darah untuk menghasilkan bendalir hempedu. Tindakan ini membantu menurunkan paras kolesterol yang berlebihan di dalam darah.


Bijirin Quaker oat untuk jantung sihat akan lebih berkesan sekiranya digabungkan dengan gaya hidup yang sihat. Elakkan diri daripada merokok dan pastikan kita menjalani aktiviti fizikal. Sekiranya berat badan berlebihan, ambil langkah untuk mengurangkan berat badan. Semua ini dapat membantu menurunkan paras kolesterol dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.


Teruskan segala amalan sihat dan baik ini yang diusahakan sepanjang Ramadan untuk menjadikan kita individu yang berjaya dan lebih baik dalam segala aspek.


Artikel ini adalah sumbangan Program Jantung Bijak Quaker

No comments: